RSS

Tuesday, May 19, 2009

Mengurus hutang dengan baik

Bagi memastikan anda tidak terperangkap dengan hutang yang membebankan, tip berikut mungkin berguna:

1. Meminjam secara berhemat.
- Jangan meminjam lebih daripada apa yang anda mampu bayar dengan pendapatan yang diterima setiap bulan. Jika anda mengira tahap kemampuan kewangan anda, jangan lupa untuk menyertakan kos tambahan yang mungkin ada. Contohnya, jika anda ingin membeli kereta, anda juga perlu mengambil kira perbelanjaan untuk minyak, bayaran tol dan penyelenggaraan.

2. Urus kad kredit anda dengan bijak.
- Cuba jelaskan baki anda setiap bulan untuk mengelakkan daripada dikenakan faedah. Caj faedah kad kredit selalunya lebih tinggi berbanding jenis pinjaman lain.

3. Kurangkan hutang anda.
- Cuba kurangkan jumlah hutang anda jika mempunyai wang tambahan untuk mengurangkan caj faedah.

4. Gunakan kaedah pembayaran bil secara automatik.
- Cari kemudahan pembayaran automatik supaya bil anda sentiasa dibayar tepat pada waktunya.

5. Buat belanjawan.
- Sediakan satu belanjawan dan berbelanjalah mengikut pelan itu.
Mulakan simpanan.
- Mulakan pelan simpanan anda untuk mengurangkan keperluan untuk meminjam bagi sebarang pembelian kecil. Pelan simpanan ini juga berguna pada waktu kecemasan atau kesusahan, seperti untuk menampung hidup anda jika anda kehilangan kerja.

Bagaimana pula kita dapat mengetahui sama ada kita menghadapi masalah bebanan hutang. Untuk menemui jawapannya, anda perlu menjawab soalan berikut dengan jujur.

1. Adakah perbelanjaan anda melebihi pendapatan?
2. Adakah had kad kredit anda digunakan sepenuhnya?
3. Adakah anda sering meminjam wang untuk perbelanjaan seharian?
4. Adakah anda hanya menjelaskan bayaran minimum untuk hutang anda?

Jika jawapan anda kepada semua atau kebanyakan soalan di atas adalah “Ya”, anda mungkin berdepan masalah untuk menyelesaikan pinjaman dan menguruskan wang anda.

Bagaimanapun, jangan terlalu bimbang kerana masih terdapat cara dan langkah tertentu yang boleh diambil untuk mengatasi masalah pembayaran hutang anda.

1. Anda boleh menghubungi institusi perbankan anda untuk membincangkan masalah berkenaan-menjadualkan semula pembayaran dengan memanjangkan tempoh pembayaran balik.
2. Membuat satu belanjawan untuk memantau perbelanjaan anda. Perhatikan adakah terdapat perbelanjaan bagi tujuan yang tidak perlu, jika ada hentikan perbelanjaan bagi tujuan tidak perlu itu secara serta-merta. Pada masa sama, kurangkan perbelanjaan harian anda.
3. Sekiranya anda mempunyai simpanan atau wang tambahan, gunakan simpanan itu untuk menjelaskan hutang anda.
4. Jika anda menerima bonus daripada majikan, gunakan wang itu untuk menjelaskan hutang anda terutama hutang kad kredit sebelum wang bonus itu habis dibelanjakan bagi tujuan tidak berfaedah.
5. Paling utama dan perlu dielakkan adalah jangan sesekali mengambil kemudahan pembiayaan baru bagi menampung hutang sedia.
6. Membuat kerja sambilan atau berniaga secara kecil-kecilan.

Sumber : Berita Harian Online

No comments:

 
Copyright SUKA AKU?BENCI AKU? 2009. Powered by Blogger.Designed by Ezwpthemes .
Converted To Blogger Template by Anshul .